Ada babak membayangkan seolah-olah aktres, Nur Fathia Abdul Latiff tanpa seurat benang dalam filem terbaharu berjudul Darah Panas arahan Arjin Uppal.
Tentunya keberanian Fathia melakonkan watak pelacur bernama Syahana bakal menggemparkan industri perfileman Melayu tetapi jangan cepat menjatuhkan hukum kerana ia hanyalah ‘camera trick’ sedangkan Fathia masih berpakaian rona ‘nude’.
Sehangat judul filem Darah Panas, begitulah beberapa adegan yang dipaparkan dalam filem kelima terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu.
Filem yang mendapat klasifikasi 18 itu bukan hanya membara dengan adegan panas Fathia, ditambah pula karakter tiga aktor hebat, Sharnaaz Ahmad, Soffi Jikan dan Adam Corrie.
Selain Fathia sebagai Syahana, Sharnaaz (Adi), Soffi Jikan (Aloi) dan Adam (Cicak), filem bergenre aksi romantik yang menelan belanja hampir RM2 juta itu turut menampilkan Datuk Jalaluddin, Aznah Hamid dan Ruminah Sidek.
Filem Darah Panas menemui penonton di 70 pawagam seluruh Malaysia pada 4 Jun ini. Malah, filem yang menjalani penggambaran sekitar Oktober 2012 itu turut ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.
Pengarahnya, Arjin Uppal tidak menafikan terdapat beberapa adegan panas membabitkan Fathia dalam filem kedua arahannya, bagaimanapun ia tidaklah keterlaluan.
"Ada ketika saya terpaksa menghalau kru produksi untuk memberikan keselesaan Fathia melakonkan adegan panas yang diperlukan. Hanya tinggal saya, Fathia dan pengarah fotografi saja.
"Saya rasa adegan yang dilakukan tidaklah keterlaluan. Filem ini menceritakan seorang gadis kampung yang lari dari rumah mengejar cita-cita sebagai model, bagaimanapun terperangkap di lembah pelacuran.
"Dalam proses Fathia dijual itulah saya harus memaparkan realiti yang berlaku. Ada adegan Fathia ditarik baju dan tudung hingga menampakkan seolah-olah tiada seurat benang, namun ia hanya `camera trick’ saja. Fathia masih memakai baju.
"Fathia adalah tulang belakang cerita ini. Dan Fathia faham kenapa beberapa adegan panas yang harus dilakukan.
"Sebagai pengarah, saya tahu beberapa adegan begitu sensitif untuk penonton, jadi saya tidaklah memintanya secara keterlaluan daripada pelakon.
Fathia, seorang pelakon yang memahami kehendak pengarah. Kami bekerja bagaikan satu keluarga," katanya.
Arjin berkata, dia tidak kisah apabila filem Darah Panas diletakkan dalam klasifikasi 18PL kerana filem bergenre aksi romantik ini sarat dengan pergolakan hidup anak kota, selain isu yang diketengahkan berlaku tanpa disedari.
"Filem ini dilihat ada sedikit unsur keganasan dan seksual, jadi lebih sesuai diletakkan dalam klasifikasi 18PL. Kami kena melakukan sedikit pemotongan sekiranya mahu klasifikasi 13PL," katanya
Arjin, graduan bidang juruterbang di Sydney, Australia berkata, cabaran menghasilkan filem keduanya itu tetap ada memandangkan dia baru saja menduduki kerusi pengarah ketika penggambaran dilakukan kira-kira dua tahun lalu.
"Saya menghasilkan skrip filem Darah Panas ketika menyiapkan penggambaran filem Kerat 14. Idea filem Darah Panas dihasilkan bersama bapa, S Baldev dan abang, Harvinder Uppal selaku produser.
"Walaupun pada penghujung penggambaran filem Darah Panas, timbul isu bersama Sharnaaz, ia tidak membantutkan usaha saya menyelesaikannya.
"Bagaimanapun, krisis antara White Merpati Entertainment dengan Sharnaaz dapat diselesaikan dengan baik. Sharnaaz, seorang yang sangat profesional dan memberi kerjasama yang baik.
"Saya mendapat komen positif daripada penonton yang melihat trailer filem Darah Panas. Ada yang mengatakan filem ini campuran filem Ombak Rindu
"Saya tidak nafikan filem ini ada elemen romantik, sedih dan ganas. Bagaimanapun, terserah pada penilaian masing-masing,” katanya.
Bagi menggembirakan hati penonton, White Merpati Entertainment turut berbesar hati mengadakan Peraduan Filem Darah Panas dengan memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu Motor KTM Duke 200cc.
Selain itu, hadiah sagu hati pula menerima topi keledar KTM 200 Duke dan baju T eksklusif.
Caranya dengan menghantarkan salinan tiket asal filem Darah Panas bersama nama, kad pengenalan dan nombor telefon sebelum 18 Jun ini ke alamat, 109, 17/42 Taman Lawa Off Jalan Kuching, Kuala Lumpur 51200 Wilayah Persekutuan.
- mD
0 comments:
Post a Comment